KURNIAAN MAKANAN SECARA BERTERUSAN SULTAN IBRAHIM RINGANKAN BEBAN RIBUAN KELUARGA DI JOHOR
Seramai 556 keluarga yang terjejas pendapatan menerima kurniaan bantuan makanan daripada DYMM Sultan Johor yang secara tidak langsung meringankan beban dan meneruskan kelangsungan hidup.
Sumbangan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) disampaikan wakil Baginda, Yang Berhormat Mejar Cina Dato’ David Wong diiringi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Dato' Mohd Noorazam Osman, Pegawai Daerah Johor Bahru, Dato' Abdul Rahman Salleh dan Penghulu Mukim.
Dato' Noorazam berkata, kurniaan kotak makanan daripada DYMM Sultan Johor ini sememangnya memberi semangat kepada keluarga yang terjejas pendapatan akibat penularan COVID-19.
"Patik menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas kurniaan yang tidak pernah putus daripada Tuanku Sultan Johor kepada rakyat Baginda," kata Dato' Noorazam.
Sementara itu, Penghulu Mukim Plentong, Mohd Nurul Faiz Aman, berkata penerima sumbangan melibatkan pelbagai kaum yang bukan sahaja terjejas pendapatan akibat COVID-19, malah anak yatim dan Orang Kurang Upaya turut tersenarai dalam penerimaan.
Bantuan makanan daripada Baginda Tuanku Sultan disampaikan kepada golongan memerlukan dipelbagai daerah secara berterusan sejak April tahun lalu.
#sultanjohor
#johor
#royalpressoffice